Penerbitan Kapten Kit

Mengenai idea Kapten Kit, Aziz M. Osman menjelaskan "Idea Kapten Kit, timbul selepas melihat sikap sesetengah masyarakat hari ini yang gemar membuang sampah merata-rata. Sebagai pengarah, saya rasa terpanggil mendidik mereka agar lebih mementingkan penjagaan alam sekitar menerusi konsep kitar semula. Mungkin sukar jika menggunakan konsep kempen dan ceramah kerana orang mudah bosan. Melihat masyarakat suka hiburan, saya rasa drama ataupun filem medium terbaik menyalurkan informasi mengenai penjagaan alam sekitar di samping membantu kerajaan mencapai matlamat diingini."[1] Tambahnya lagi, "Sasaran utama penonton Kapten Kit adalah kanak-kanak kerana mereka generasi muda yang senang dibentuk. Selain berhibur dengan konsep superhero dan elemen komedi yang diselitkan, mereka akan belajar cara mengitar barang semula. Mana tahu, boleh membentuk minat mereka menjadi saintis."[1]

Mengenai perihal penerbitan, Aziz mengakui keadaan cuaca tidak menentu melambatkan proses penggambaran drama itu, tetapi tidak mematahkan semangat juangnya bersama kru produksi untuk terus melebarkan kreativiti mereka dalam drama itu. "Boleh dikatakan setiap hari hujan. Justeru, kami akan pastikan memulakan penggambaran awal pagi supaya jadual yang ditetapkan tidak terganggu."[1] Lebih-lebih lagi, teknik CGI tidak banyak digunakan "kerana ingin memelihara keaslian jalan cerita yang hendak disampaikan."[2]